Monday, January 24, 2011

Mengapa suka cakap belakang?

Saya menerima sebuah e-mel daripada seorang sahabat. Sharifuddin menceritakan  keadaan warga syarikatnya yang tidak sampai 10 orang itu hendak  berhenti kerja secara beramai-ramai.

Puncanya kerana dia hanya memberi  bonus sebulan gaji kepada kakitangannya.

Saya hairan kerana setahu saya,  syarikat pembekal alatulisnya itu tidak pernah memberi bonus sejak mula  beroperasi.

Mengapa pula mereka hendak berhenti kerja bila taukenya  hendak memberi bonus?

"Aku pernah bersembang dengan seorang staf,  niat aku hendak beri bonus kepada semua kakitangan aku. Dia boleh bawak  cerita kepada staf yang lain yang aku nak beri bonus tiga bulan gaji.  Bila aku beri sebulan gaji, masing-masing merajuk dan nak berhenti  kerja. Mereka tuduh aku berbohong! Nasib baik aku panggil staf aku yang  jadi penyebar cerita palsu itu menceritakan kepada semua staf dalam  sebuah mesyuarat. Kalau tidak, aku boleh tutup kedai."

Alhamdulilah  kerana Sharifuddin dapat menangani masalah di syarikatnya yang kecil  itu. Fitnah yang besar di dalam sebuah syarikat yang kecil itu dapat  dihidu dan disusur puncanya lalu diselesaikan.

Bagaimana pula kita yang  bekerja di syarikat yang besar, kawasan perumahan yang besar atau  kampung yang besar?

Yang pasti, saban hari berita benar dan palsu  datang kepada kita bersilih ganti hingga kita tidak dapat mengenal yang  mana satu yang benar dan yang mana salah.

Yang bahayanya, berita itu  tiba dalam bentuk pertuturan, bisikan dari telinga ke telinga sehingga  kita tidak tahu dari manakah sumbernya. Malangnya, kita mudah  mempercayainya.

Mengapa? Di antara punca utamanya ialah sikap  kita yang mudah menerima apa yang disampaikan secara cakap  belakang-belakang.

Kita mudah menerima cerita yang disampaikan secara  tidak rasmi ini kerana di dalam mana-mana kelompok manusia, akan  terdapat seorang penyampai berita yang handal dalam mensensasikan apa  jua khabar.

Lazimnya, si penyampai berita ini mempunyai cara  pertuturan yang amat menyakinkan. Sesuatu berita disampaikan dengan  intonasi suara yang memukau, mimik muka yang mempengaruhi si pendengar  dan gerak geri yang dramatik.

Sudah tentunya penyampaian yang sebegini  akan membuat kita terpesona dan terlupa rasional serta logika. Sehingga  akhirnya kebenaran itu dikaburkan dengan kebatilan.

Kerana itu,  di dalam sesebuah organisasi, seseorang yang bertukar jabatan kerana  kenaikan pangkat boleh digosipkan sebagai seseorang yang diturunkan  pangkat.

Orang yang mengundur diri daripada sesuatu jawatan kerana  kurang sihat dikatakan sebagai dibuang dan orang yang mengubah pendirian  kerana menghormati keputusan mesyuarat boleh dianggap orang berperangai  lalang.

Si penyampai berita inilah yang menggodam apa yang benar kepada  yang palsu. Malangnya, yang palsu inilah yang dipercayai.

Mengapa  pula yang palsu ini dipercayai hingga ia menjelma menjadi benar? Ia  terjadi kerana kita juga. Ramai di kalangan kita terdiri daripada mereka  yang lebih suka mengangguk untuk mengiyakan.

Kita malas untuk berfikir  sama ada apa yang disampaikan itu betul atau salah.

Lagipun, kita segan  untuk mempersoalkan apa yang disampaikan kerana hendak menjaga hati si  penyampai berita.

Akibat kasihan kepada si penyampai kerana tidak  mahu dia malu alah jika kita bertindak dengan menyoal sumber berita  yang disampaikan, akibatnya, kita memperoleh maklumat yang salah.

Oleh  kerana kita perlukan maklumat untuk membuat keputusan, maklumat yang  salah akan menghasilkan keputusan yang salah.

Sepatutnya, apabila  kita memperoleh sesuatu khabar, perkara pertama yang harus kita lakukan  ialah bertanyakan sumber berita yang diperoleh si penyampai.

Dengan  maklumat itu, kita harus terus merujuk kepada sumber itu untuk  memperoleh kepastian. Tindakan ini akan mematikan fitnah di sumber  asalnya. Dan, yang lebih penting, kita akan disegani kerana berani  memberhentikan cakap belakang daripada berleluasa.

Dalam pada  kita berani menghentikan cakap-cakap belakang, jangan pula kita  terjerumus pula menjadi salah seorang daripadanya.

Ini boleh terjadi  jika pada mana-mana ketika, kita malu untuk mengaku yang kita tidak tahu  mengenai sesuatu perkara apabila ditanya mengenainya.

Oleh kerana  hendak menyedapkan hati si penanya, maka kita pun mencipta cerita yang  kita rasa logik.

Tanpa kita sedari, tindakan itu akan menjadikan kita si penyebar fitnah. Sedar-sedar, rupa-rupanya, kita pun apa kurangnya?

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

Designed By Blogs Gone Wild!