Sunday, October 9, 2011

Tutorial 5


ISL 7: Pilih beberapa orang Tokoh Tamadun Islam dan nyatakan sumbangan mereka kepada Tamadun Islam.


A. ILMU PERUBATAN:

·         IBNU SINA BAPA SEJARAH SAINS

Sumbangan dan Pencapaian Ibnu Sina

#Hasil Tulisan dan Ensiklopedia

Sebagai seorang ahli perubatan dan falsafah serta dalam masa yang sama beliau banyak terlibat dalam bidang-bidang lain, beliau banyak menghasilkan karya-karya dan tulisan sebagai panduan dalam sesuatu bidang khususnya dalam bidang perubatan. Beliau telah menghasilkan 250 karya yang masih kekal sehingga hari ini termasuk 116 karyanya khas dalam bidang perubatan.

Antara karya beliau yang terkenal adalah “Al-Qanun Fi Al-Tibb” (Peraturan Perubatan) yang terdiri daripada 14 jilid diterbitkan di Rom pada tahun 1593 dan telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Karyanya ini telah dialih bahasa ke bahasa Latin oleh Gerard Cremona sebaik sahaja beliau berpindah ke Toledo, Sepanyol dalam kurun ke-12 Masihi. Kehebatan karya beliau menjadikan karyanya sebagai sumber rujukan utama di universiti-universiti terkemuka di Eropah terutamanya di Itali dan Perancis sehingga kurun ke-17. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin telah menggunakannya sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 M. Sementara itu Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai "Ensiklopedia Kedoktoran". Karyanya ini, telah cetak semula sebanyak 16 kali, 15 kali dalam bahasa Latin dan satu kali dalam bahasa Yahudi. Menjelang abad ke-16, karyanya ini telah dicetak sebanyak 21 kali. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, karya tersebut telah dialih bahasa ke 15 buah bahasa antaranya bahasa Inggeris yang dikenali sebagai Precepts of Medicine.


 
Selain daripada “Al-Qanun Fi Al-Tibb”, Ibnu Sina juga telah menulis satu karya yang bertajuk Remedies for The Heart yang mencangkirkan sajak-sajak mengenai perubatan. Dalam buku beliau ini, terdapat 760 jenis penyakit beserta dengan cara untuk menawarkan penyakit-penyakit tersebut.

Teori-teori dan Pendapat

Penulis-penulis barat menganggap Ibnu Sina sebagai “Bapa Doktor” kerana beliau telah menggabungkan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen juga pengalaman daripada sarjana perubatan di India dan Parsi bersama pengalaman beliau sendiri menghasilkan penemuan-penemuan baru yang lebih baik dari sebelumnya. Beliau berpendapat bahawa perubatan adalah satu cabang ilmu mengenai kesihatan dan sakit pada tubuh manusia.

Beliau telah memperkenalkan satu cabang ilmu perubatan iaitu ilmu perubatan psikosomatis atau “psychosomatic medicine” yang menggabung ilmu psikologi dan perubatan dalam membantu pesakit yang mengalami ganguan emosi dalam hidup. Beliau telah memperluaskan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenal pasti dalam masa beberapa detik sahaja ketidak - seimbangan humor yang berkenaan . Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih dipraktikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor dari Amerika (1981) menerangkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan Parsi sangat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai. Ini merangkumi :

a. Kuat atau denyutan yang lemah.
b. Masa antara denyutan.
c. Kandungannya lembap di paras kulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.

Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang, hakim mungkin mengetahui dengan tepat penyakit yang dihidapi oleh pesakit.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada kekasihnya , beliau boleh mendapati nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:
Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu terjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti , seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan , nama jalan , rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu , kata Ibnu Sina "Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit dengan kekasihnya , menurut peraturan syariah maka buatlah".(Terjemahan).
2.2.3 Penemuan-Penemuan

Ibnu Sina adalah doktor perubatan yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind) atas jasad dan telah banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.
Ibnu Sina ialah tabib pertama yang secara tepat menerangkan meningitis, beliau juga telah menemui bagaimana jangkitan tibi berlaku, juga menerangkan penyakit yang menyebabkan penyakit kuning (jaundice).

·         ABU AL-QASIM KHALAF PAKAR BEDAH MUSLIM

Sumbangan dan Pencapaian

Di kalangan ahli perubatan Islam, beliau dikenali sebagai perintis ilmu pengenalan penyakit (diagnosis) dan cara penyembuhan penyakit telinga, Abu Qasim telah merintis pembedahan telinga untuk mengembalikan fungsi pendengaran dengan cara memerhatikan secara saksama anatomi saraf-saraf halus, pembuluh-pembuluh darah dan otot-otot.

Selain itu, beliau turut mempelopori pengembangan ilmu bagi penyakit kulit. Abu Qasim pernah mengarang beberapa buah buku tentang bidang kedoktoran dan peralatan-peralatannya dalam sebuah ensiklopedia perubatan bertajuk At-Tasrif liman ‘Azija ‘an at-Ta’lif yang menerangkan secara jelas diagram mengenai 200 peralatan pembedahan. Ilustrasi diagram tersebut memberi gambaran banyak peralatan yang boleh digunakan untuk keperluan perubatan pergigian.

Pada bahagian akhir buku karangannya yang mengandungi 30 bab itu, beliau menyatakan tentang luka dan cara pembedahannya, pengubatan tulang yang remuk, penyakit gigi sekali gus dengan kaedah perubatannya tentang pembakaran luka dan pembersihan kotoran dalam rahim selepas bersalin. Buku itu kemudian meletakkan dasar-dasar pengembangan kedoktoran pergigian di Eropah. Malah beberapa bahagian penting dalam buku tersebut telah diadaptasi oleh seorang ahli bedah Perancis yang terkenal di Eropah, Guy de Chauliac. Al-Tasrif diterjemahkan buat kali pertama dalam bahasa Latin oleh Gherard of Cremona dan diikuti oleh beberapa terbitan lain di Eropah.

Pada abad ke-12, secara umumnya kaedah perubatan kesihatan yang terbaik adalah di negara-negara Islam. Baghdad, misalnya, pada tahun 1160 mempunyai lebih daripada 60 buah klinik. Malah para doktor dan ahli farmasi di Baghdad perlu mendapat latihan secukupnya sebelum terjun ke dunia perubatan. Dr. Donald Campbell dalam bukunya, Arabian Medicine and Its Influence on the Middle Ages, mengakui bahawa buah fikiran Abu Qasim banyak dipengaruhi oleh sistem perubatan Barat. Di Eropah, beliau pernah menerima pujian sebagai ahli perubatan yang mempunyai reputasi tinggi seperti mana Galen dan Hippocrates. Sehingga abad ke-15, silibus pelajaran media di Universiti Tubingen masih menggunakan salah satu karya Abu Qasim iaitu Kitab al-Masnur.

Sebahagian daripada penulisannya mengenai perubatan diterbitkan ke dalam bahasa Latin yang bertajuk Liber Theorical nec non Practiceas-Sharavii(1519). Bukunya yang lengkap mengenai ulasan pembedahan, Abulcasis de Chirurgia Arabice et Latine Cura Johannis Channing, telah diterbitkan di Venice pada 1479, Basla (1541) dan Oxford (1778). Karyanya yang lain ditemui dalam buku History of Medicine jilid I oleh M.Neuberger pada 1910 dan Carl Brockelmann menjumpai karyanya dalam buku Geschichte der Arabischen Literatur jilid I pada 1898.

·         AR-RAZI PAKAR FARMASITIKAL

Sumbangan

Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam pelbagai bidang. Beliau menjadi perintis dalam bidang pediatrik (berkaitan kanak-kanak), obstetrik (ilmu perbidanan) dan ophthalmologi (berkaitan mata). Walau bagaimanapun, jasa beliau dalam bidang perubatan memang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau digelar "Bapa Pediatrik" oleh ahli sejarah kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengubati penyakit kanak-kanak. Beliau juga orang yang pertama mengenalpasti penyakit 'hay fever' dan penyebabnya.

Al-Razi juga adalah orang yang pertama memperkenalkan alkohol (Bahasa Arab: Al-Kuhl) untuk tujuan perubatan. Beliau juga adalah pakar bedah yang terkemuka dan orang yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius. Beliau juga menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau mengaitkan ini sebagai hasil pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan.
Al-Razi adalah orang yang pertama membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa dan juga saintis pertama yang membincangkan mengenai pembesaran dan pengecilan pupil mata. Beliau menerangkan bahawa reaksi tersebut berlaku kerana tindak balas terhadap keamatan cahaya.

Al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litoriti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil supaya senang dikeluarkan melalui saluran kencing. Selain daripada itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang yang pertama membezakan kedua-dua penyakit ini seterusnya membuat kajian sistematis mengenai penyakit tersebut. Ini dicatatkan dalam buku beliau yang bertajuk Al-Judari wa al Habsah.

Al-Razi juga telah memperkenalkan perkara-perkara berikut dalam ilmu farmasi:
a. Penggunaan ubat untuk melawaskan pembuangan air besar secara lembut
b. Penggunaan air sejuk untuk menyembuhkan demam yang melarat
c. Penciptaan benang seton dan pembakaran tisu untuk kes-kes luka
Al-Razi juga menekankan hubungan di antara doktor dan pesakit. Beliau menyarankan agar wujudnya ikatan kepercayaan antara kedua-dua pihak ini: "Komen yang positif daripada doktor akan menguatkan semangat pesakit, membuatkan mereka rasa lebih selesa serta membantu proses pemulihan". Beliau juga mengingatkan kepada para pesakit: "Bertukar-tukar doktor pula akan hanya membazirkan kesihatan, masa dan wang pesakit itu sendiri".

Hasil Karya

Al-Razi telah menghasilkan 237 buah buku di mana 140 buah daripadanya adalah berkaitan bidang perubatan. Sepuluh buah daripada buku-buku perubatan tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Antara kitab yang telah beliau hasilkan ialah Kitab al-Mansuri, Kitab al-Hawi Fit-Tibb, Kitab al-Muluki dan Kitab al-Judari wa al-Hasabah.

Kitab al-Hawi Fit-Tibb merupakan karya beliau yang termasyhur. Kitab ini juga dikenali sebagai 'Comprehensive Book' yaang merangkumi ilmu perubatan patologi dan terapi dari sumber-sumber Yunani, India dan Arab. Sepanjang hidupnya, beliau telah membuat pelbagai kajian mengenai ilmu perubatan. Beliau akhirnya telah menghimpunkan kesemua pengalaman perubatan tersebut ke dalam Ensiklopedia Perubatan yang berjumlah 20 jilid. Kitab al-Hawi merupakan pecahan terbesar di mana ia meliputi 9 jilid. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan nama 'Liber Continens' oleh doktor perubatan Yahudi berbangsa Sicily, Faraj Ibn Sallim (Farragut) pada 1279M dan diulang cetak beberapa kali pada 1509M di Venice dan juga 1528M, 1578M dan 1745M di Paris.

Kitab al-Mansuri pula merupakan kitab perubatan pertama yang ditulis oleh beliau. Ia dinamakan sempena nama pemerintah Rayy pada masa itu iaitu Mansur Ibn Ishaq. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1480M di Milan dan dikenali dengan nama 'Liber AlMansoris'. Ia mengandungi 10 jilid dan sebahagian daripadanya telah diterbitkan ke dalam bahasa Jerman dan Perancis. Terjemahan jilid ke-9 yang telah ditulis oleh Gerard Cremona dengan nama 'Nonus Al-Mansuri' adalah teks terkenal di Eropah sehingga kurun ke-16.
Kitab al-Judari wa al-Hasabah pula adalah kajian menyeluruh yang pertama berkenaan penyakit cacar dan campak. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin buat kali pertama pada 1565M dan kemudian ke dalam bahasa-bahasa lain dan diulang cetak sehingga 40 edisi di antara 1498-1866M. Ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh William A. Greenhill di London pada 1848M. Tesis berkenaan kedua-dua penyakit ini diiktiraf sebagai kajian sistematis yang sulung dalam sejarah perubatan. Pada masa yang sama juga, beliau telah menyarankan beberapa petua untuk merawat kedua-dua penyakit tersebut.


 
B. SENI BINA

·         Khalifah al-Walid bin ‘Abdul Malik (86-87H)

Semasa pemerintahan Khalifah al-Walid, Masjid Suriah di Damsyik yang dahulunya merupakan sebuah gereja masyarakat Kristian berbangsa Yunani telah diperbaharui dan dibangunkan semula (Mahayudin, 2004). Menurut pengarang ini lagi, pada zaman pemerintahan beliaulah bermulanya pembinaan unsur-unsur bangunan masjid secara lengkap seperti mihrab, mimbar, menara, selain tiang dan dinding serta atap. Khalifah al-Walid banyak menyumbang ke arah kemajuan seni bina Islam semasa pemerintahannya sehingga beliau digelar ‘Pembina Agung Kerajaan Bani Umayyah’ (Mahayudin, 2004).

Beliau telah membina pejabat-pejabat kerajaan dan juga beberapa
bangunan bagi mengindahkan kota Damsyik dan memulihara Masjid Nabawi di
Madinah, Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid al-’Aqsa di Bayt al-Maqdis. Beliau juga telah menyempurnakan pembinaan batu di Bayt al-Maqdis iaitu Qubbah al-Sakhrah. (Mahayudin, 2004).

·         Khalid bin ‘Abdullah al-Qasri

Beliau merupakan gabenor kepada Khalifah Hisham bin ‘Abd al-Malik. Menurut Mahayudin (2004), beliau telah berjaya membina parit-parit dan tali air dalam usaha menyiapkan projek pertanian yang dirancang oleh Khalifah Hisham bin Abd al-Malik.

·         Khalifah Abdul Rahman II

Di antara sumbangan Khalifah Abdul Rahman II dalam aspek seni bina ialah membuat projek membina menara-menara lampu di beberapa pelabuhan untuk memudahkan kapalkapal perdagangan berlabuh di pantai-pantai Andalus (Mahayudin, 2004).

·         Khalifah Abu Ja’far al-Mansur

Nama penuh beliau ialah Abu Jaafar Abdullah bin Muhammad bin Ali al-Abbas telah dilahirkan di 101H di al-Hamimah (Mohd Mokhtar, 1993). Hasan Ibrahim (dalam Mohd Mokhtar, 1993) menyatakan bahawa beliau merupakan khalifah Abbasiyah yang kedua selepas Abu al-Abbas al-Saffah. Beliau telah mendirikan sebuah istana yang bernama al-Khuldi di pinggir Sungai Dajlah. Rekabentuk istana ini sangat indah dan kedudukannya yang strategik telah menyebabkan beliau menamakannya ’Qasr al-Khuldi’ yang bermaksud istana abadi. Beliau juga telah membina Masjid Jami’ al-Mansur di hadapanIstana al-Zahab yang mana merupakan masjid yang tertua di Kota Baghdad (Mahayudin,
2004).

·         Khalifah al-Mahdi

Khalifah al-Mahdi ialah khalifah yang ketiga dalam khalifah-khalifah Bani Abbasiyahperingkat pertama (Mohd Mokhtar, 1993). Beliau telah membina Istana al-Salam di Isabaz dan Masjid Jami’ al-Rishafah pada tahun 157H (Mahayudin, 2004).

·         Khalifah al-Ma’mun

Universiti Nizamiyyah merupakan pusat pengajian tinggi formal yang ditubuhkan oleh Khalifah al-Ma’mun di zaman pemerintahannya. Penubuhan universiti ini telah memberi peluang yang besar kepada orang ramai untuk menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi (Mahayudin, 2004). Imam Abu Hanifah, Imam Shafii, Imam Malik, al-Kindi, al-Farabi, Abu Bakar al-Razi dan Ibn Sina adalah antara tokoh-tokoh intelektual yang pernah menuntut di universiti bersejarah ini.

Beliau telah membina Bayt al-Hikmah yang merupakan pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang terbesar terletak di Baghdad (Mahayudin, 2004). Pelbagai aktiviti penulisan karyakarya ilmiah dan juga aktiviti penterjemahan buku ke dalam bahasa Arab dijalankan di kutub khanah ini. Beliau juga telah memperkembangkan bidang astronomi dengan membina pusat astronomi di Syamsiyah, berhampiran Kota Baghdad untuk mengawasi pergerakan bintang (Mahayudin, 2004). Kesan daripada penubuhan ini ahli-ahli geografi Islam telah berjaya membuktikan bahawa dunia ini bulat yang mengandungi 360 darjah.

·         Ibrahim al-Farazi

Beliau merupakan seorang ahli geografi Islam yang telah membuat banyak kajian. Beliau telah berjaya mencipta astrolab yang digunakan oleh ahli pelayaran sehingga kini (Mahayudin, 2004).

C. SENI MUZIK

·         Al-Farabi

Nama sebenar al-Farabi ialah Abu Nasr Muhammad Ibn Muhammad Ibn  Tarkhan (Haliza, 2006). Beliau dilahirkan pada 260 Hijrah (874 Masihi) di Khurasan, Turki. Beliau banyak menyumbang dari segi pemikiran serta penghasilan buku dalam bidang falsafah, mantik, sosiologi, sains dan muzik.
Di dalam seni muzik, al-Farabi merupakan seorang pemuzik yang handal dan lagu hasil karya beliau meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan bermain alat muzik, beliau juga berjaya mencipta sejenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus (Umar, 1983). Mahayudin (2004) pula menyatakan bahawa al-Farabi adalah pencipta dan pengembang seni muzik daripada alat rabah dan qanun.
Al-Farabi turut menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam yang diberi judul al-Musiqa (Haliza, 2006, Mahayudin, 2004, Abd Alim dan Syed Idrus, 1995). Menurut Mahayudin (2004), beliau juga terkenal menerusi karyanya yang diterjemahkan bertajuk Grand Book on Music, Styles in Music dan On The Classification of Rhythm. Buku-buku ini sebenarnya diterjemahkan daripada karya bahasa Arab dan menjadi rujukan penting di Eropah. Selain itu, beliau juga memberi sumbangan yang besar dalam penciptaan not-not muzik.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

Designed By Blogs Gone Wild!