Tuesday, April 3, 2012

Teknik Bercerita


Teknik ialah cara yang lebih khusus yang dicipta untuk mencapai sesuatu objektif pengajaran. Teknik boleh dilihat sebagai satu cara khusus untuk membantu dan menjayakan sesuatu kaedah pengajaran. Pelbagai jenis teknik telah dicipta untuk tujuan pengajaran bahasa seperti teknik bercerita.

Teknik bercerita untuk menyampaikan pelajaran bukanlah satu perkara baru, malahan cara ini pernah dilakukan oleh orang-orang kita sewaktu menyampaikan sesuatu pengajaran kepada anak-anak mereka. Teknik ini mudah menarik minat anak-anak itu. Keadaan yang sama juga boleh dilakukan semasa guru-guru menyampaikan pelajaran kepada anak-anak murid mereka. Biasanya murid-murid akan lebih cepat menumpukan perhatian di samping menjadikan pembelajran itu berlaku dalam keadaan yang menyeronokkan.

Murid-murid, khususnya di sekolah-sekolah rendah, amat gemar mendengar cerita. Walaupun mereka masih kecil, tetapi apa yang diceritakan kepada mereka itu dapat segera difahami dan kadangkala dapat pula sekaligus memahami maksud cerita itu. Oleh yang demikian, jika murid-murid tadi diberi peluang belajar dalam suasana yang menyeronokkan, pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan.

Walau bagaimanapun, guru-guru mestilah sedar bahawa teknik bercerita dan pengajaran cerita adalah dua perkara yang berlainan. Janganlah oleh kerana terlalu seronok bercerita, objektif pengajaran yang sebenar yang hendak disampaikan ketika itu menjadi kabur. Guru perlu ingat, bercerita itu hanyalah sebagai alat untuk menyalurkan isi-isi pelajaran, sedangkan aspek-aspek yang hendak disampaikan itu adalah lebih penting dan seharusnya menjadi tumpuan utama.

Cara melaksanakan teknik bercerita itu samalah seperti guru menjalankan pelajaran cerita, tetapi apa yang penting ialah aspek-aspek bahasa yang hendak diajarkan itu seharusnya ada dan terkandung di dalam cerita itu. Penekanan harus dilakukan kepada aspek-aspek tersebut semasa guru bercerita.


Kelebihan teknik bercerita

Sebagai suatu teknik dalam pembelajaran, bercerita bermanfaat bagi murid-murid dalam memperkembangkan aspek kognitif, afektif mahupun psikomotor. Hal ini demikian kerana melalui cerita, murid-murid boleh mendapatkan maklumat tentang fakta, konsep mahupun pengetahuan yang digabungjalinkan dalam sesuatu kisah. Cerita juga menampilkan model-model tingkahlaku yang ditunjukkan oleh para pemegang watak atau tokoh dalam cerita.

Murid-murid sebagai pendengar cerita, biasanya juga terlibat secara emosional ketika mendengar atau membaca cerita. Dengan hal yang demikian, maka baik aspek kognitif, afektif maupun psikomotor murid-murid dapat dibantu perkembangannya melalui bercerita.

Sebagai suatu teknik dalam pembelajaran juga, bercerita memiliki beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan teknik-teknik yang lain.

Pertama, melalui penyampaian cerita, guru dapat membina satu suasana yang menyenangkan dan mengasyikkan. Hal ini demikian kerana cerita merupakan bentuk dari seni sastera yang memiliki keindahan dan kenikmatan, lebih-lebih lagi jika jalan cerita yang disampaikan mempunyai hubungkait dengan lingkungan kehidupan murid-murid.

Kedua, cerita yang sarat dengan nilai-nilai murni, mampu menanamkan sikap jujur, berani, setia, ramah dan sikap positif lainnya yang berguna dalam pembentukan budi pekerti atau keperibadian murid-murid.
Ketiga, melalui teknik bercerita, murid-murid dapat mengenali fakta-fakta alam sekitar mahupun pengetahuan sosial yang berguna bagi perkembangan kognitif mereka.

Keempat, terdapat banyak aspek yang boleh dipelajari oleh murid-murid dalam satu-satu masa. Penggabungjalinan kemahiran berbahasa seperti mendengar, bertutur, menulis dan membaca yang berlaku ketika murid-murid mendengar atau membaca cerita dapat membantu mereka menajamkan lagi kemahiran-kemahiran yang terlibat.

Selepas sesi bercerita, sesi perbincangan pula perlu dijalankan untuk menguji kefahaman pelajar tentang cerita yang disampaikan, perbincangan hendaklah merangkumi:


  • Pengajaran dan nilai murni daripada cerita yang disampaikan.
  • Latihan tatabahasa.
  • Merumuskan isi-isi penting dalam cerita.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

Designed By Blogs Gone Wild!