Tuesday, April 3, 2012

Prapenulisan

Peringkat pengajian menulis:

Peringkat pengajian menulis terbahagi kepada 3 :

a) Peringkat pramenulis (persediaan)

b) Peringkat mendirikan asas (peringkat mekanis)

c) Peringkat untuk pelahiran


Peringkat Pramenulis

Peringkat pramenulis ialah tempoh masa murid – murid disediakan dengan aktiviti – aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf – huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh masa ini latihan otot – otot, tangan dan jari serta kordinasi tangan dan mata diberi kepada murid – murid dari awal – awal lagi. Keadaan ini membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk lambang – lambang yang kemas, dan jelas. Pelajaran tulisan yang dirancangkan haruslah sistematik, bertitik – tolak daripada aktiviti – aktiiviti pramenulis yang berbentuk bebas. Latihan – latihan pratulisan ini mementingkan perkara – perkara berikut .

• Melakukan latihan – latihan pergerakan tangan

• Menguasai gerak tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan sempurna

• Melakukan latihan – latihan pergerakan mata

• Melakukan latihan – latihan kordinasi tangan dan mata

Contoh latihan

1) Latihan mewarnakan dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri

2) Latihan mengikut garisan – garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan

3) Latihan – latihan membentuk garisan lurus

4) Latihan membentuk bulatan di udara, di meja, di lantai, di atas pasir tanpa menggunakan alat tulis (lukis bulatan dari kecil ke besar)

5) Latihan melukis gambar – gambar yang mengandungi garisan – garisan lurus dan bulat,

6) Latihan membentuk corak – corak campuran bulatan dan garisan lurus dan ia dilakukan dengan bebas


Peringkat mendirikan asas (peringkat tulisan mekanis)

Setelah murid – murid menjalankan latihan pratulisan, faham dan tahu memegang pensel serta boleh duduk dengan cara yang betul. Mereka boleh dilatih membentuk lambang – lambang tulisan. Pada peringkat awal, dicadangkan murid membentuk huruf di kertas kosong yang tidak mempunyai sebarang garisan. Setelah didapati memuaskan, barulah murid tersebut dilatih membentuk huruf pada halaman yang bergaris. Apabila murid mula membentuk huruf pada kertas bergaris, kawalan tulisan perlu dilakukan. Ia harus bermula daripada garisan yang lebar hingga kepada lembaran satu garis.

Contoh latihan menulis terkawal dari mula hingga ke lembaran satu garis

1) Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dlaam keadaan yang terkawal

2) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua

3) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris Saturday latihan membentuk lambing tulisan dengan cara yang betul untuk mendapat keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam dan mudah dibaca.

Semasa menyampaikan kemahiran tersebut, guru haruslah memberikan perhatian kepada beberapa perkara.

a) Kanak – kanak harusdiperkenalkan pada lambang – lambang huruf dengan menggunakan gambar

b) Sebelum dilatih menulis, latihan bebas perlu diberikan untuk membentulkan urat – urat daging kanak – kanak

c) Kanak – kanak menulis dengan mengeja dan menyebut nama – nama huruf

d) Menggunakan kertas, mula – mula tidak bergaris dan selepas itu barulah menggunakan buku yang bergaris

e) Setelah kanak – kanak dapat menggunakan alat – alat dengan baik, barulah dilatih menggunakan buku dan alat – alat lain yang sesuai

Contoh latihan

1) Menekap huruf mengikut urutan yang ditetapkan

2) Menulis huruf mengikut urutan yang ditetapkan

3) Memadankan dan menyalin dua suku kaata supaya menjadi perkataan yang bermakna

4) Menulis huruf yang tertinggal dalam ruang atau petak yang dikosongkan

5) Menyalin perkataan yang mudah

6) Menyalin ayat – ayat yang mudah


Peringkat Menulis untuk kelahiran

Setelah menguasai tulisan mekanis, murid- murid patut digalakkan melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Cara – cara yang dicadangkan ialah bermula daripada yang terkawal iaitu berpandukan gambar – gambar dan perkataan, mengisi tempat kosong, melengkapkan ayat – ayat dan perenggan sehingga murid – murid itu boleh menghasilkan tulisan tanpa panduan.

Contoh latihan
1) Mengisi silang kata

2) Mengisi tempat kosong dalam ayat

3) Melengkapkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai

4) Menuliskan ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberikan

5) Memanjangkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai

6) Membentuk ayat – ayat bagi menyudahkan ayat

7) Menulis ayat – ayat berdasarkan gambar – gambar yang disediakan

8) Menulis jawapan – jawpaan kefahaman

9) Menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan

10) Menulis karangan daripada tajuk yang disediakan (rujuk sukatan pelajaran BM sekolah rendah)



Peringkat permulaan karangan

Sebelum membuat sesebuah karangan, kita hendaklah memilih dan mamahamkan tajuk karangan. Selepas itu, kita hendaklah fikirkan tentang

a) Pengenalan

b) Isi karangan

c) Penutup


Peringkat permulaan

Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan ini, kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau tidak faham. Kita haruslah berusaha untuk menarik perhatian pembaca supaya untuk terus ingin membaca karangan itu. Pengenalan karangan tersebut tidak perlu panjang dan memadai dibuat secara ringkas dan secara umum sahaja.


Peringkat-peringkat Mengajar Bacaan

Pengajaran bacaan yang dijalankan boleh guru bahasa tertumpu kepada dua kemahiran iaitu bacaan secara kuat (bacaan mekanis) dan bacaan secara senyap (bacaan mentalis/akaliah). Kemahiran membaca kuat lebih menumpukan kepada kemahiran sebutan, intonasi, dan gaya membaca (membaca berita). Manakala bacaan senyap merupakan kemahiran membaca untuk memaham dan juga kepantasan membaca petikan sesuatu bahan.

Mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat supaya mereka dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik. Kamarudin Hj. Husin (1988) membahagikan pengajaran bacaan kepada lima peringkat:

i. peringkat menyediakan murid

ii. peringkat mendirikan asas

iii. peringkat melatih membaca dan memaham

iv. peringkat melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat

v. peringkat membina dan mengukuhkan sikap gemar membaca.

Apabila kanak-kanak memasuki tahun satu persekolahan, guru perlu menyiasat terlebih dahulu tahap kesediaan murid terutamanya penguasaan bahasa dan juga emosi murid. Pengetahuan guru tentang tahap kesediaan membaca murid dan juga kemahiran sedia ada murid akan dapat membantu guru untuk menyediakan murid bagi pelajaran membaca.

Peringkat mendirikan asas bacaan sangat penting dalam pengajaran kemahiran membaca kepada murid-murid. Pada peringkat ini guru perlu menggunakan pelbagai alat bantu mengajar dan juga bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang digunakan hendaklah ringkas, menarik, dan bermakna. Kemahiran asas bacaan bermula dengan mengenal abjad, suku kata, perkataan, frasa, dan seterusnya ayat. Pada peringkat ini juga galakan dan dorongan perlu diberikan kepada murid secara berterusan.

Peringkat seterusnya adalah melatih membaca dan memaham. Pada peringkat ini bahan bacaan yang digunakan hendaklah dipilih dengan baik. Selain menekankan aspek sebutan dan kelancaran, guru juga mula menekankan aspek pemahaman. Kebiasaan murid membaca nyaring boleh dikurangkan kepada bacaan senyap secara beransur-ansur. Soalan-soalan guru berkaitan bahan yang dibaca akan membantu murid membina kemahiran memaham.

Setelah kanak-kanak sudah boleh membaca dengan lancar dan seterusnya memahami isi bahan yang dibaca, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memilih bahan bacaan lain untuk mencari maklumat dan juga untuk mengisi masa lapang. Guru boleh membantu kanak-kanak dengan mengajar mereka kemahiran mencari maklumat di pusat sumber dan juga internet.

Akhir sekali adalah peringkat membina sikap suka membaca. Sikap suka membaca hendaklah dipupuk di peringkat sekolah lagi supaya sebati dengan jiwa kanak-kanak. Kebiasaannya sekolah kerap mengadakan pertandingan membaca, pameran buku, peraduan mengarang, dan sebagainya.


Perkara yang diperlukan dalam penulisan karangan oleh murid

Sebelum penulisan:

1. Mencari dan memahami kata kunci bagi soalan atau tajuk karangan

2. Perancangan penulisan – penyusunan isi-isi penting serta huraian atau contoh

3. Mengetahui format penulisan karangan yang dikehendaki


Semasa penulisan:

1. Penghuraian isi-isi penting – bagi menguatkan isi atau fakta yang hendak dinyatakan

2. Menggunakan laras bahasa yang sesuai

3. Memberikan tumpuan kepada isi-isi yang tertinggal


Selepas penulisan:

1. Membuat semakan terhadap kesilapan penggunaan tatabahasa – kata hubung, tanda baca, kata ganti diri dan ejaan

2. Memastikan format karangan adalah betul



Prinsip pemilihan bahan.

Prinsip pemilihan Bahan Bantu Mengajar.

Terdapat beberapa garis panduan pemilihan bahan pengajaran, dan prinsip-prinsip pemilihan bahan pengajaran bahasa dirumuskan seperti yang berikut :

1. Sesuai

Perkataan sesuai itu sendiri membawa maksud bertepatan, di mana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan mata pelajaran. Perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar menepati seperti yang dikehendaki oleh kumpulan atau individu. Pemilihan bahan hendaklah mempunyai hubungan kesesuian dengan perkara-perkara seperti berikut :

a) objektif dan matlamat pengajaran bahasa

b) Pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran

c) Keadaan pelajar

d) Suasana pembelajaran

e) Minat pelajar

Bahan pengajaran yang dipilih hendaklah sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran. Oleh itu, guru hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu bahan. Dengan objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih bahan-bahan yang sesuai dan dapat membantu kearah pencapaian objektif tersebut. Bahan yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan situasi tempatan.

Guru juga sepatutnya mengambil kira keadaan pelajarnya yang datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman sosial, pendidikan, ekonomi, taraf pencapaian dan sebagainya ketika menyediakan bahan. Bahan-bahan yang sesuai dengan segolongan pelajar, mungkin tidak sesuai dengan segolongan pelajar yang lain. Faktor lain adalah suasana pembelajaran, dimana bahan yang sesuai dengan suasana pembelajaran akan meninggalkan kesan yang baik. Elemen penting dalam suasana pembelajaran ialah pelajar, isi pelajaran, bahan dan guru. Dalam proses pembelajaran pula, rangsangan yang mengarah pada pemikiran dan seterusnya mewujudkan tingkah laku tertentu merupakan tiga konsep yang penting.

2. Mencabar

Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan-bahan yang dipilih dapat memberikan rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar.

Satu strategi pemeringkatan bahan pembelajaran yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan-bahan yang dipilih itu mesti terdiri daripada bahan-bahan yang mengandungi ciri-ciri berikut :

a) bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak.

b) Bahan yang mudah kepada yang kompleks.

c) Bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu.

d) Bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif)

e) Bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif)

f) Bahan yang umum kepada teori.

g) Bahan masakini kepada masa akan datang.


3. Menepati

Ketepatan bahan pengajaran dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan pengajaran yang menepati kandungan kurikulum pengajaran. Bahan pengajaran yang dipilih mestilah menunjukkan perkaitan antara aspek kandungan bahasa, proses pembelajaran dan pengajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran bahasa adalah berdasarkan ciri-ciri yang berikut:

a) Isi kandungan sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelajar.

b) Susunan bahan

c) Mengandungi maklumat atau fakta yang yang tepat.

d) Maklumat yang kemaskini

e) Perbendaharaan kata yang sesuai

f) Bahan pengajaran yang diperakui.


4. Menarik

a) Reka letak ; peta, lukisan, carta, jadual, graf, rajah, gambar atau kartun mestilah disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan. Ini akan memydahkan pelajar membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep.

b) Saiz huruf cetak atau saiz huruf haruslah sesuai dengan peringkat umur pelajar.

c) Ilustrasi dan bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan dapat menambah atau mengukuhkan pembacaan pemahaman.

d) Kualiti kulit dan cara buku dijilid

e) Bahan pengajaran mengandungi arahan yang jelas.


5. Jimat dan mudah

Sekiranya untuk menghasilkan bahan bantu mengajar tersebut dibeli,tidak semestinya mahal.sebaliknya bahan tersebut boleh dihasilkan dengan kreativiti guru contohnya dengan menggunakan bahan terbuang.


6. Praktikal

Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Bahan pengajaran seharusnya sederhan dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk bahasa yang yang berdasarkan situasi sebenar. Ini dapat membantu pelajar menggunakan bahasa dalam komunikasi. Selain itu, bahan tersebut seharusnya tahan lasak jika digunakan berulang-ulang kali dan sekiranya digunakan untuk lebih dari satu mata pelajaran dan juga sesuai pada masa dan mata pelajaran lain.


7. Mudah alih

Bahan pengajaran yang dipilih hendaklah sentiasa berfungsi, boleh dibawa kemana-mana dan tidak terlalu berat atau besar.

Pemilihan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang terdiri daripada bahan-bahan teks atau sumber-sumber lain semestinya dilihat daripada tiga perspektif iaitu perspektif komunikatif atau fungsional, perspektif struktural dan perspektif kemahiran. Ketiga-tiga aspek ini biasanya lebih ditumpukan ke atas murid-murid itu sendiri.



Kawalan bahan pengajaran bertujuan supaya pengajaran dapat disampaikan dengan seimbang. Mengapa perlu kawalan bahan?

Tujuannya supaya bahan-bahan pelajaran bahasa dapat disampaikan secara berseimbangan. Ini bermakna guru harus dapat mengawal masa dan bahan-bahan yang hendak disampaikan sesuai dengan satu-satu waktu mengajar yang ditentukan.

Guru harus:

Mengawal masa dan bahan-bahan yang hendak disampaikan.

Memastikan kecukupan masa dan kesesuaian bahan dengan waktu pengajaran.

Apa yang dirancangkan itu hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.

Bahan-bahan yang tidak selesai disampaikan dalam pelajaran pertama hendaklah disempurnakan dalam pelajaran berikutnya.

Dikawal supaya bahan-bahan tersebut tidak diajar berulang kali.



Kesalahan yang biasa oleh murid-murid semasa menulis karangan

Kesalahan pertama ialah kesalahan memilih tajuk. Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana murid tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin murid terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.

Kesalahan kedua ialah kekurangan isi. Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah murid menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana murid kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.

Kesalahan ketiga ialah pembahagian perenggan. Ada murid meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada murid menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan!

Kesalahan keempat ialah tidak merangka karangan. Ada murid yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Murid yang tidak merangka bererti murid tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan. Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada murid yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).

Kesalahan kelima ialah kesalahan tatabahasa. Murid perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’. Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada murid yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan "daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi murid tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.

Kesalahan keenam ialah kesuntukan masa. Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Murid yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis. Terdapat kes murid yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.

Kesalahan-kesalahan lain ialah seperti tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan, tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan dan Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan ).


Cara berkesan menghasilkan karangan yang baik

Sebelum membuat sesuatu karangan, murid hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu murid fikirkanlah pula tentang Pengenalan, isi-isi dan penutup.

Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan murid hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Murid hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.

Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, murid hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.

Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat murid dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.



Kaedah pandang sebut (proses kaedah)

KAEDAH PANDANG DAN SEBUT

Kaedah pandang dan sebut datang dalam keadaan ramai kanak-kanak tidak boleh membaca dengan menggunakan kaedah abjad. Berpadanan dengan namanya, kaedah ini meminta kanak-kanak menghafal pola-pola sukukata yang ada dalam bahasa Malaysia. Uniknya bahasa Malaysia adalah kerana pola-pola suku katanya jelas dan pola-pola sukukata yang ada dalam bahasa malaysia ada lebih daripada 1000 pola-pola untuk dihafal. Mengikut kajian, jumlah 2000 ke 3000 adalah satu jumlah yang masih boleh diterima hafal oleh anak kecil kita.

Sama dengan kaedah mengeja, kaedah pandang dan sebut juga tidak termasuk antara kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengajar kanak-kanak membaca bahasa Inggeris. Sebabnya bahasa Inggeris tidak mempunyai sukukata yang jelas. Kaedah pandang dan sebut tidak memerlukan kanak-kanak untuk mengeja atau membatangkan ejaan. Kanak-kanak hanya perlu mengecam dan menghafal tulisan dan gabungan bunyi dua, tiga atau empat huruf lalu menyebut terus contohnya:-

• ba bi bu be bo (untuk 2 huruf )

• ban bin bun ben bon (untuk 3 huruf)

• bang bing bung beng bong (untuk 4 huruf)

Kaedah ini adalah lebih mudah untuk mengajar kanak-kanak menggunakan kad-kad imbasan seperti cara yang diperkenalkan oleh Glen Doman. Pola-pola sukukata ditulis di atas kad-kad imbasan dan diimbaskan kepada kanak-kanak. Setiap perkataan ditulis di atas kad-kad manila yang dipotong kecil dan diimbaskan kepada kanak-kanak dengan cepat. Rasionalnya,kanak-kanak dikatakan mempunyai ingatan foto "photographic memory" . Sebab itulah, ia hanya perlu diimbas dan setiap perkataan yang diimbaskan akan disimpan di dalam ingatan dan dikeluarkan bila masanya tiba.


Langkah pengajaran

• Murid diajar menyebut ‘seluruh perkataan’ selepas guru menyebutnya dan menulisnya di papan tulis.

• Perkataan seperti ‘meja’ dan ‘cawan’ kemudian dicerakinkan menjadi suku kata, seperti ‘me ja’ dan ‘ca wan’. Murid membaca suku kata.

• Kemudian perkataan ‘meja’ dan ‘cawan’ ini dicerkain lagi menjadi huruf. Seperti ‘m e j a’ ‘c a w a n’.

• Murid mengeja dan menUlis huruf dan perkataaan

• Kaedah seluruh perkataan ini sesuai untuk bahasa yang sistem ejaannya logografik eg. Bahasa Cina dan bahasa Mesir Tua.



Kelebihan dan kelemahan kaedah pandang sebut.

Kajian menunjukkan beberapa kelemahan dalam kaedah ini


Kanak-kanak cuba mengcam dan membaca perkataan dengan cara ‘meneka’ dari bentuknya.
Kanak-kanak tidak dapat mengguna kemahiran membaca perkataan yang lalu untuk ‘attack’ membaca perkataan baru.
Murid perlu ‘mengecam’ dan ‘menghafal’ banyak perkataan sebelum ia boleh membaca sesuatu cerita.
KELEBIHAN

Oleh sebab, murid-murid telah menguasai sejumlah kosa kata, maka pengajaran prabacaan hendaklah bermula dengan pengalaman tersebut.

Pengajaran tidak akan seronok sekiranya tidak menghubungkan dengan pengalaman murid.

Mengecam huruf dan menghafaz bunyi akan berkesan sekiranya murid-murid telah menguasai sejumlah perkataan.

Menurut Goodman : Pengalaman pembacaan murid akan lebih bermakna jika yang dibacanya merupakan sesuatu yang telah dikenali atau diketahui mereka.


Membaca secara mekanis dan ciri pelaksanaannya

Pembacaan mekanis adalah proses yang dapat membantu peningkatan pencapaian akademik murid-murid. Aktiviti membaca secara nyaring kepada murid secara terkawal akan meningkatkan minat murid dalam kadar masa yang segera teruamanya dalam bidang sastera. Guru haruslah prihatin terhadap pembacaan murid dengan cara memerhati wajah mereka sambil mengawal keadaan. Guru juga seharusnya pandai memilih bahan bacaan yang menarik supaya dapat menghadapi masalah untuk mengawal disiplin murid. Membaca kepada murid dengan nyaring merupakan aktiviti yang penting bagi semua peringkat murid bermula dari peringkat pra-sekolah hinggalah ke peringkat universiti. Aktiviti membaca secara nyaring dapat meningkatkan suasana yang menarik di dalam bilik darjah bagi tujuan pembelajaran murid di sekolah.

Selain itu, bagi menambahkan minat murid untuk membaca, guru perlulah menyediakan persekitaran yang selesa dan dapat menggalakkan pembelajaran murid. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan sudut bacaan di dalam kelas dengan pelbagai jenis buku yang menarik. Lebih banyak buku yang disediakan, lebih banyak peluang kepada murid dalam membuat pilihan mengikut minat dan kegemaran mereka. Kajian yang pernah dibuat oleh pihak University Of Southern California menunjukkan murid yang kurang bahan bacaan di dalam kelas mereka memperolehi skor yang rendah jika dibandingkan dengan murid yang memiliki bahan bacaan yang agak banyak di sudut kelas mereka.

Langkah seterusnya, guru melakukan bacaan nyaring untuk pemahaman. Ketika membuat bacaan nyaring, kemudian berhenti di tempat-tempat tertentu untuk berbincang mengenai sesuatu yang terdapat dalam bahan bacaan itu sebenanya secara tidak langsung mengajar murid-murid cara-cara membaca dengan betul dan cara-cara untuk memahami maklumat yang terdapat dalambahan bacaan itu. Contohnya, guru ingin membincangkan sesuatu mengenai gambar hiasan yang terdapat pada muka surat tertentu atau ingin menjelaskan makna perkataan tertentu, bertanya tentang sesuatu kepada murid, berbincang tentang sesuatu peryataan dan sebagainya. Selain daripada itu, terdapat tiga contoh strategi yang dapat dilaksanakan dalam pengajaran pemahaman membaca.

Pertama iaitu berfikir tentang cerita yang dibaca. Guru berhenti membaca lalu meminta murid berfikir tentang sesuatu yang berkaitan dengan cerita tersebut seperti kemungkinan kesudahan cerita tersebut. Kedua ialah dengan membuat peta minda. Sambil membaca guru dan murid membuat peta minda seperti perwatakan watak-watak penting yang terdapat dalam bahan bacaan yang dibaca. Sumber maklumat ditambah satu demi satu sepanjang bacaan yang dibuat. Ketiga ialah dengan membuat nota ringkas. Nota rigkas ini digunakan untuk membuat ulangkaji sebelum membuat bacaan pada bab seterusnya. Antara aspek yang dapat dicatatkan termasukah unsur konfik atau masalah yang terdapat dalam cerita atau bacaan tersebut, maklumat mengenai watak-watak, peristiwa penting, nilai,pengajaran, tema, persoalan, gaya bahasa dan sebagainya.

Langkah seterusnya dengan penglibatan perpustakaan. Pertama, membantu pihak sekolah mempromosi kempen membaca serta menjadi penyelaras dalam apa-apa program membaca yang diadakan di sekolah dan menyediakan bahan bacaan yang mencukupi termasuklah bahan bacaan bagi murid-murid inklusif bermasalah penglihatan serta membuat promosi untuk menambah ahli di perpustakaan. Kedua, dengan menyediakan bahan-bahan yang mencukupi terutamanya bahan dalam bentuk komputer dan perisian yang sesuai. Ketiga, menganjurkan program atau aktiviti untuk membantu ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran membaca, terutamanya bagi sekolah-sekolah di luar bandar dan mendapatkan bantuan daripada pihak luar untuk membantu dalam menjayakan program tersebut. Keempat, memberikan pengiktirafan atau hadiah kepada murid-murid yang menunjukkan kecenderungan dan minat untuk membaca bahan-bahan yang terdapat di perpustakaan.

Pihak media juga dapat membantu dengan memberikan ruang iklan secara percuma bagi apa-apa iklan yang berkaitan dengan program membaca. Secara umumnya, kanak-kanak perlu memiliki kemahiran membaca dan menulis selewat-lewatnya ketika mereka berada di tahun tiga sekolah rendah. Pihak pengurusan sekolah perlu sedar bahawa usaha yang mencabar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sokongan daripada masyarakat luar sekolah.

Kesimpulan, sekiranya guru kerap membuat bacaan secara nyaring untuk murid-murid maka akan timbul kesedaran dalam diri murid-murid bahawa membaca itu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Mereka juga sedar bahawa gambar hiasan yang terdapat dalam bahan bacaan itu merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan maklumat yang hendak disampaikan. Mereka juga memahami bahawa buku dibaca dari kiri ke kanan dan apa yang dicetak pada buku itu melambangkan perkataan serta setiap cerita itu terdapat permulaan dan pegakhiran. Dengan mendengar bacaan guru dan mengemukakan soalan, daya pemahaman dan perbendaharaan kata mereka akan meningkat. Begitulah pentingnya membaca bahan bacaan secara mekanis itu penting kepada murid



Perlaksanaan membaca secara mentalis.

Aplikasi dalam kelas bacaan

Guru yang mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran akan melakukan perancangan dengan membuat pemeringkatan kemahiran. Ini bermakna, murid akan memperoleh sesuatu kemahiran itu secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemahiran dan penguasaan mereka. Kemahiran membaca akan dimulakan dengan kemahiran paling asas iaitu mengenal suku kata, dan seterusnya kemahiran itu dipertingkatkan kesukarannya sehinggalah murid berkenaan dapat membaca sebuah ayat yang lengkap. Sebagai contoh, dalam pelaksanaan pengajaran ini, guru menetapkan 10 kriteria yang perlu dikuasai oleh murid sebagai bukti mereka telah menguasai kemahiran membaca yang telah ditetapkan. Pada pembelajaran pertama, guru mungkin menetapkan dua kriteria yang perlu dicapai, kemudian dua lagi pada pembelajaran akan datang dan begitulah seterusnya sehingga semua murid berjaya mencapai kriteria tersebut.

Teori Pembelajaran Mentalis (Pelopor – Noam Chomsky)

Teori ini menekankan fungsi mental seseorang manusia itu. Menurut Chomsky, kanak-kanak akan mengalami beberapa peringkat perkembangan dalam pemikiran iaitu bermula dari peringkat terendah deria motor, kemudian kepada pra-operasi, operasi konkrit dan operasi formal. Sebagai contoh, dalam pembelajaran bahasa, kanak-kanak akan menguasai kemahiran memahami terlebih dahulu sebelum mereka belajar bertutur.

1.Kebaikan

1.1 Menekankan kepada proses perkembangan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu pembelajaran bahasa akan diajar secara berperingkat-peringkat mengikut kematangan murid berkenaan. Dengan itu proses pembelajaran berlaku secara sistematik dan guru dapat mengawal kadar kemajuan pembelajaran murid secara berperingkat-peringkat.

1.2 Menekankan kepada pembelajaran mengikut kadar kendiri, di mana murid berpeluang belajar sesuatu pengetahuan atau kemahiran berdasarkan minat, kebolehan dan tahap kognitif mereka sendiri.

1.3 Menekankan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar. Pengajaran berpusatkan pelajar bermaksud pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan penggunaan bahan-bahan pembelajaran berbanding guru. Oleh itu ia amat sesuai digunakan untuk mengajar kemahiran berbahasa.

2. Kelemahan

2.1 Teori ini mementingkan kemahiran tulisan, yang kemudiannya diikuti dengan kemahiran bacaan. Manakala kemahiran lisan pula kurang diberikan perhatian. Ini akan menyebabkan sesetengah murid hanya mahir menggunakan bahasa dalam tulisan dan bacaan, tetapi lemah dalam lisan (mendengar dan bertutur).

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

Designed By Blogs Gone Wild!