Bagaimana bacaan pantas dapat membantu anda ?
Secara purata sebenarnya kita membaca sekitar 150 hingga 250 patah perkataan seminit. Melalui bacaan pantas, anda sebenarnya boleh meningkatkan tahap pembacaan sehingga ke 1,000 patah perkataan atau lebih dalam masa seminit. Pembacaan pantas sebenarnya sangat membantu kita untuk memahami sesuatu pembacaan dengan cepat tanpa mengabaikan pemahaman teks yang dibaca.
Menjimatkan masa
Sebagai pelajar, secara purata anda mempunyai sekitar 8 hingga 10 subjek yang perlu dipelajari dan setiap subjek mempunyai 1-2 buku teks. Pembacaan yang pantas dapat membantu anda mengulangkaji pelajaran dengan cepat. Contohnya, rakan anda membaca bab 1 sejarah dalam masa 2 jam tetapi anda boleh membacanya dalam jangkamasa 30 minit sahaja.
Diperingkat kolej dan universiti pula, perkara yang sama berlaku malah lebih susah dan banyak. Kebiasaannya, anda akan mengambil 4 hingga 5 subjek setiap semester. Setiap subjek pula mempunyai buku teks dan berpuluh bahan rujukan.
Lebih banyak subjek yang boleh dipelajari
Masa yang sedikit diperuntukkan untuk membaca dan memahami tajuk atau bab sesuatu subjek membolehkan anda membaca subjek yang lain pula. Contoh di atas boleh digunapakai iaitu jika kawan anda hanya sempat membaca 1 subjek dalam masa 2 jam, anda pula boleh membaca 4 subjek dalam masa yang sama!
Kurang letih
Membaca bagi sesetengah orang meletihkan apabila anda perlu menghadap buku dalam masa yang lama. Dengan teknik bacaan pantas, anda boleh mengurangkan keletihan kerana masa yang diambil untuk membaca dapat disingkatkan. Anda pula boleh membuat kerja yang lain selepas itu seperti aktiviti fizikal seperti berbasikal atau bermain sebagai rehat dan riadah.
Mudah faham
Bacaan pantas juga sebenarnya membantu anda agar lebih mudah faham sesuatu subjek atau bab buku yang dibaca. Sesetengah pelajar mungkin kurang faham sesuatu bab disebabkan mereka menangguh pembacaan. Contohnya jika anda sudah terlalu lambat dan lama membaca membawa kepada keletihan serta ingin berehat. Akibatnya tajuk bab buku tidak selesai dan anda hanya faham sebahagiannya sahaja. Sekiranya anda membaca pantas, anda akan dapat menghabiskan sesuatu bab atau tajuk itu tanpa mengambil masa yang lama dan paling penting faham keseluruhan maksud bab tersebut.'
Teknik membaca :
1. Gunakan alat yang boleh membantu untuk anda membaca (metaguiding) dan kurangkan regressi( regression).
Gunakan tangan, pen atau pensel dan di tunjukkan kepada ayat – ayat yang dibaca . Anda juga boleh menggunakan kertas atau kad bod untuk menutup ayat di barisan bawah supaya mata anda hanya tertumpu kepada ayat di atas. Cara yang mudah ini dapat membantu anda supaya lebih fokus dan mengurangkan pergerakan mata yang tidak terkawal (regressi). Sedar atau tidak pergerakan mata yang tidak terkawal membantut dan melambatkan pergerakan mata untuk membaca serta memenatkan. Pergerakan mata yang tidak terkawal ialah situasi di mana mata kita sentiasa berpatah balik dan bergerak kekiri kanan. Pergerakan membaca yang betul dan lancar memerlukan pergerakan mata yang lancar dari kiri ke kanan.
2. Kurangkan pergerakan fizikal (subvocalization)
Sesetengah pembaca membaca dengan mulut terkumat- kamit untuk membunyikan huruf dan ayat dalam hati mereka. Hal ini dipanggil ‘subvocalization’. Kurangkan subvocalization kerana ia akan mengurangkan kepantasan anda membaca. Contoh yang boleh digunakan untuk mengurangkan subvocalization iaitu apabila kawan anda menerangkan tentang percutian di Langkawi, anda fokuskan kepada cerita dan pengalamannya berbanding dengan cara dia menyebut perkataan apabila bercerita.
3. Kurangkan gaya mengeja untuk membaca tahap sekolah rendah
Peringkat awal membaca kanak-kanak (pra sekolah dan darjah 1), kita sering membaca dengan cara suku kata. Tabiat membaca sebegini sepatutnya ditinggalkan terutama apabila telah melangkah ke darjah 2 dan 3 lagi. Silibus masa kini peringkat darjah 2 dan 3 lagi menuntut pemahaman dan bukan lagi cara mengeja dengan suku kata untuk membaca. Anda sepatutnnya membaca dalam kumpulan perkataan ataupun ‘chunk’. Contoh –contoh di bawah adalah bagaimana seseorang membaca mengikut kumpulan dimulai dengan contoh 1 ( pelajar yang membaca secara mengeja dengan suku kata), contoh 2 (kelajuan biasa membaca mengikut patah perkataan), contoh 3 (kelajuan sederhana membaca dengan 2-3 perkataan sekaligus ) dan contoh 4 (kelajuan tinggi membaca dengan 4 hingga ke atas perkataan sekaligus).
Contoh 1 :
Pe la jar ha rus me mi kir kan un tuk me mi lih bi dang pe nga ji an
yang ber kaitan de ngan bi dang pe ker ja an dan je nis ke ma hi ran yang di per lu kan Ne ga ra pa da ma sa ki ni dan a kan
da tang.
Contoh 2 :
Pelajar harus memikirkan untuk memilih bidang pengajian
yang berkaitan dengan bidang pekerjaan dan jenis kemahiran yang di perlukan Negara pada masa kini dan akan datang.
Contoh 3:
Pelajar harus memikirkan untuk memilih bidang pengajian
yang berkaitan dengan bidang pekerjaan dan jenis kemahiran
yang di perlukan Negara pada masa kini dan akan datang.
Contoh 4:
Pelajar harus memikirkan untuk memilih bidang pengajian
yang berkaitan dengan bidang pekerjaan
dan jenis kemahiran yang di perlukan Negara
pada masa kini dan akan datang.
Beberapa teknik dan tips yang boleh dilakukan ialah :
· Sebelum anda bermula, pastikan anda mengetahui kelajuan bacaan semasa anda. Ini bukan sahaja akan membantu anda dalam menilai kedudukan anda tetapi juga membantu anda dalam menetapkan matlamat untuk diri sendiri dan memantau kemajuan anda. Anda boleh mengetahui kelajuan pembacaan dengan menggunakan jam randik. Standard ini adalah untuk mengira jumlah perkataan yang andadapat baca dalam satu minit. Uji diri anda membaca blok teks yang berbeza dan kemudian mengira purata skor anda. Ini akan membantu anda untuk mendapatkan anggaran yang tepat kelajuan bacaan anda. Paling penting, jangan menipu! Uji diri andapada kelajuan biasa anda.
Anda boleh mencuba perisian percuma untuk menguji jumlah kelajuan bacaan anda di www.spreeder.com . Persian ini boleh digunakan untuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu serta apa-apa bahasa yang dibaca dari kiri ke kanan.
· Sentiasa pilih tempat yang selesa dan aman untuk dibaca. Kurangkan gangguan disekeliling (sebagai contoh: telefon, televisyen, tempat yang bising) atau rangsangan yang tidak menyenangkan (seperti bunyi kuat, bau yang busuk, sinar lampu yang malap
· Pastikan penglihatan mata anda diperiksa. Ramai orang tidak sedar bahawa kelajuan membaca perlahan disebabkan masalah penglihatan visi yang rendah seperti rabun atau disleksia.
· Baca seberapa banyak yang anda boleh. Anda bukan sahaja akan menjadi orang yang lebih berbudaya, berpendidikan dan baik. Membaca jugameningkatkan perbendaharaan kata dan perbendaharaan kata yang baik adalah penting untuk menjadi pembaca yang pantas.
Sumber :
http://learnhowtospeedread.org
http://www.spreeder.com
Osman Affan . Menjadi remaja smart study: kemahiran belajar. PTS Publishing.
PERBENDAHARAAN KATA
Pembaca sekelian, kesinambungan daripada artikel bacaan pantas yang disiarkan dalam keluaran November lalu, disiarkan pula teknik
untuk menambah bilangan perbendaharaan kata atau kosa kata. Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa penguasaan dan pemahaman terhadap perbendaharaan kata yang tinggi adalah diantara ciri penting bagi meningkatkan kejayaan seseorang dalam kerjayanya. Penguasaan perbendaharaan kata yang tinggi juga menunjukkan kekuatan dan ciri-ciri kewibawaan yang membawa kepada kejayaannya dalam hidup dan interaksi seharian. Perbendaharaan kata amat penting bagi kita untuk memahami apa yang dibaca. Justeru, proses penambahan bilangan perbendaharaan kata dalam kamus peribadi kita sangat perlu samada dalam Bahasa Melayu ataupun Inggeris.
Merujuk kepada kajian-kajian yang telah dijalankan, beberapa teknik boleh dipraktikkan oleh pelajar baik di peringkat rendah, menengah atau dewasa. Berikut disenaraikan teknik-teknik untuk menambah perbendaharaan kata anda:
1- Teknik penghuraian
Apabila anda menemui satu pekataan baru yang tidak difahami , anda akan menggunakan kamus untuk mencari maksudnya. Maksud yang diterangkan adakalanya jelas dan tidak. Anda mungkin terlupa dengan hanya membaca maksudnya sahaja. Disini anda perlu mencari contoh-contoh ayat bagi perkataan tersebut dalam konteks yang berlainan. Sinonim (perkataan yang sama makna) dan antonim (perkataan lawan) juga membantu untuk anda memahami perkataan baru tersebut . Yahya Othman (2008) juga menggariskan teknik yang sama di mana pelajar perlu mengarang beberapa ayat menggunakan perkataan tersebut dan disemak oleh guru dan pengajar tentang penggunaannya.
2- Teknik pengulangan
Teknik pengulangan atau latih tubi. Menurut Yahya Othman (2008) pelajar perlu menyebut perkataan yang sukar tersebut berulang kali dan menulisnya semula agar mereka dapat mengingat dengan lebih baik lagi. Melalui pengamatan dan pemerhatian, saya dapati bahawa pelajar yang diberi makna perkataan dan diminta menulis berulang-ulang setiap hari sebanyak 5 hingga 10 kali bagi setiap perkataan selama seminggu dapat mengingat terus perkataan yang dipelajarinya untuk jangka masa yang panjang.
3- Teknik membaca dan merakam
Sesetengah orang belajar dengan lebih cepat melalui pendengaran. Tambahan pula, proses pembacaan sahaja tidak mencukupi kerana kadangkala kita sering ‘meninggalkan’ beberapa perkataan semasa membaca supaya cepat habis. Selain itu melalui proses pendengaran kita akan mengetahui cara perkataan itu disebut dengan betul. Oleh itu proses pembacaan dan mempelajari perkataan baru wajar dibantu dengan alat pendengaran. Pelajar boleh didedahkan dengan alat rakaman untuk merakam perkataan yang baru dipelajari. Perkataan tersebut boleh didengari secara berulang-ulang untuk mencapai keberkesanan dalam mengingat perkataan.
4- Teknik permainan
Teknik permainan sangat membantu dan cara yang paling efektif untuk menarik minat mempelajari perkataan baru. Permainan tradisi seperti Scrabble, Boggle dan ‘Crossword’ untuk Bahasa Inggeris dan Sahibba serta teka silang kata bagi Bahasa Melayu. Kini, dengan bantuan internet, permainan perkataan secara online tumbuh bak cendawan dan tersedia secara percuma. Diantara permainan perkataan di laman web ( Bahasa Inggeris ):
Yahoo games http://games.yahoo.com/word-games
Word games : http://www.wordgames.com/
Scrabble : http://www.isc.ro/
Crossword puzzle : http://www.crossword-puzzles.co.uk/
Teka silang kata © Maxexphoto | Dreamstime.com
5- Teknik penggunaan kad perbendaharaan kata
Menurut Yahya Othman (2008), dengan menggunakan kad catatan yang sesuai, perkataan baru tersebut boleh di tulis di atas kad beserta makna dan contoh penggunaan ayat. Kad-kad yang telah dibuat dalam bentuk catalog boleh disimpan dalam kotak dan digunakan untuk menguji pemahaman perkataan di antara pelajar dan rakan-rakannya atau orang yang boleh membantu seperti ibu-bapa, adik – beradik dan jiran.
6- Teknik ‘imagery’ atau menghubungkan perkataan dengan rupa bentuk fizikal
Teknik imej mental sangat membantu sekiranya perkataan tersebut mempunyai perkaitan secara langsung dengan imej fizikal seperti benda, warna, bau, rasa, saiz dan bentuk.
Melalui teknik-teknik ini diharapkan dapat membantu mempertingkatkan perbendaharaan kata anda. Adalah disarankan jika anda seorang pelajar yang gemar belajar secara beramai-ramai, maka teknik penggunaan kad perbendaharaan kata disamping penghuraian dan pengulangan lebih sesuai digunakan. Manakala jika anda seorang yang lebih pantas belajar sekiranya berseorangan, maka teknik merakam dan mendengar semula melalui alat rakaman adalah lebih sesuai. Saya yakin bahawa teknik yang digunakan boleh meningkatkan perbendaharaan kata anda dengan bantuan guru dan ibu bapa.
Wallahu a’lam
Sumber :
Yahya Othman (2008). Mengajar Membaca Teori & Aplikasi Edisi kedua . PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
http://www.improvingvocabulary.org/index.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm
BACAAN PANTAS
Image by lensfusion
Dalam keluaran yang lepas, pembaca telah pun didedahkan dengan kaedah perbatuan atau milestone. Kesinambungan berkenaan cara penyediaan jadual, career2zoom ingin berkongsi maklumat mengenai teknik dan kemahiran pembelajaran yang amat penting untuk kita kuasai iaitu teknik membaca. Umum mengetahui bahawa keperluan membaca adalah untuk semua golongan dari kanak-kanak sebelum pra-sekolah sehingga golongan tua atau dikenali sebagai ‘life long learning’. Namun, kita menyedari bahawa terdapat tahap-tahap pembacaan yang berbeza disetiap peringkat.
Read more: Bacaan Pantas
PENJADUALAN
Image by mensatic
Kesinambungan dari pemahaman dan kemahiran menyediakan cv atau resume, pelajar perlu mula mengkaji dan menyakini diri sendiri tentang kerjaya yang diidamkan. Pembentukan peribadi dan personaliti kerjaya yang diminati dan diidamkan ini adalah langkah bijak untuk terus meningkatkan motivasi diri.
Pembacaan yang berterusan berkenaan bidang tersebut dan trend samada melalui majalah, internet dan sebagainya juga amat membantu untuk terus memupuk minat dan maklumat terkini yang boleh menjadi satu kelebihan dan kekuatan apabila tiba masanya.
Bercakap sememangnya lebih mudah daripada melakukannya apatah lagi untuk dijadikan budaya. Walaupun begitu, saya masih juga ingin menyarankan agar pelajar perlu mempunyai penjadualan yang rapi sebagai persediaan untuk berjaya. Penjadualan masa amat penting dan seboleh-bolehnya setiap minit, jam, hari, mingggu, bulan dan tahun pelajar telah mempunyai aturcara yang tersusun dan sentiasa sibuk untuk melaksanakannya. Adalah disarankan agar pelajar mengambil faedah dari jadual waktu solat sebagai panduan untuk merencanakan setiap program dan aktiviti.
Contoh Jadual harian untuk Sabtu & Ahad
Langkah seterusnya ialah memperkenalkan kepada pelajar pendekatan 'milestone' atau penjadualan sebagai satu projek yang dapat membiasakan pelajar untuk mula menjadualkan semua perlakuan dan kerja dengan due date. Pendekatan ini akan membolehkan pelajar lebih jelas dengan hala tuju, objektif, dan sentiasa mengurus masa dan urusan dengan lebih sistematik, bijak, dan berkesan. Masa adalah amat penting disebabkan ia sentiasa bergerak maka kita perlu mempunyai kemahiran dan kelajuan yang setara agar tidak digelar di antara golongan yang rugi.
'Milestone' sering digunakan oleh golongan professional untuk menjadualkan tindakan yang perlu dilakukan mengikut masa yang ditetapkan. Tidak menjadi salah jika milestone ini digunakan oleh pelajar untuk merancang tindakan yang perlu dilakukan dengan meletakkan kerjaya yang dicitakan sebagai satu projek jangka panjang. Manakala projek jangka pendek adalah merangka penjadualan persiapan setiap peperiksaan yang bakal dihadapi oleh pelajar.
Berikut ialah beberapa contoh elemen yang perlu diberi perhatian untuk memulakan penjadualan:
Kami yakin dengan Perancangan awal sebegini akan membantu pelajar untuk lebih cenderung membuat persiapan demi mengejar cita-citanya. Diyakini dengan pendedahan penjadualan dan milestone ini akan membangkitkan semangat motivasi diri secara semulajadi untuk berjaya dan secara tidak langsung pelajar akan mahir dalam bidang pengurusan seperti masa, projek, dan yang lebih penting ialah 'meeting the dateline'.
InsyaAllah di keluaran akan datang career2zoom.com akan cuba menyediakan contoh penyediaan milestone khusus kepada pelajar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
TOPIK 1 : PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN BAB 1- BAB 7 1. Berikut adalah istilah-istilah yang ...
-
Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan ...
-
Pendekatan induktif bermula dariapada spesifik kepada umum . Menurut J.M Kierzek dan W.Gibson (1960), pendekatan induktif dimulakan dengan ...
-
Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, ...
-
Dalam membuat buku pop-up , kita perlu mempertimbangkan beberapa faktor dan idea untuk membuat buku ...
0 comments:
Post a Comment