Perpaduan negara merujuk kepada
satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang
sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk
identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti
golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini,
pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada
prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan
masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.
Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan
Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan
yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah
yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan
ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum.
Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara
Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan
melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari
patriotik.
Dalam situasi sekolah, memupuk semangat
muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat
membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka
berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga
harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai
rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap
subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk
membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.
Penubuhan sekolah wawasan yang
menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan
SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi.
Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang,
kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah
akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin,
dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat
perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar
lagi.
Perpaduan boleh diterapkan melalui
aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti
sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan
dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan
dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan
badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan
perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat,
termasuklah pelajar.
0 comments:
Post a Comment