Sunday, October 9, 2011

Tutorial 8


ISL 15: Huraikan lima prinsip Islam Hadhari yang seterusnya.

Prinsip 6 : KEHIDUPAN BERKUALITI

Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material.
Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.
Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut kualiti kehidupan mengikut Islam tidak bersifat statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut perlu diusaha dan dijayakan dari masa ke semasa semoga tahap pencapaian setanding dengan masyarakat yang maju di dunia.
Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada insitusi keluarga. Keluarga yang sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi yang seimbang dan berprestasi. Bahkan gejala sosial masyarakat dapat diminimakan jika setiap institusi keluarga dapat berfungsi dengan berkesan.
Dalam konteks mencapai kehidupan yang berkualiti, kemudahan persekitaran turut serta diberi perhatian. Tempat rekreasi dan kemudahan beriadah turut sama difikir perlu dalam membina masyarakat yang sihat dan bertenaga.
Dari pendekatan Islam Hadhari, kita dapati bahawa kualiti hidup masyarakat dari kesemua aspek akan dibangunkan secara bersepadu.

Prinsip 7 : PEMBELAAN HAK KUMPULAN MINORITI DAN WANITA

Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pesyariatan syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang.
Jaminan ke atas hak-hak tersebut terkandung dalam Pelembagaan Persekutuan. Ia terdapat dalam Bahagian Kedua Perlembagaan yang membuat peruntukan mengenai kebebasan asasi (Fundemental Liberties).
Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki. Mereka berhak untuk turut sama dalam pembangunan negara dan menikmati apa jua yang dinikmati oleh kaum-kaum lain. Mereka boleh menyertai dalam pentadbiran negara aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan politik. Isu mengenai hak-hak wanita telah diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan dalam menggubal dasar negara seperti termaktub dalam Dasar Wanita Negara.
Islam ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang jitu serta adil, saksama, amanah dan bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, keturunan dan fahaman agama, tidak memandang rendah mana-mana golongan. Hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang dan apabila timbul pertikaian ia boleh diselesaikan oleh mahkamah atau badan seumpamanya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’: 58. maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya(yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hokum diantara manusia, (Allah menyuruh)maku menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”.

Prinsip 8: KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

Satu daripada prinsip ketamadunan sesuatu bangsa dan negara ialah wujudnya keutuhan budaya dan ketinggian moral sebagai identiti negara tersebut. Dalam rangka meningkatkan kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani.
Dengan demikian kemajuan ekonomi dan teknologi Malaysia akan berjalan selari dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum. Namun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia semasa, merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari.
Dari perspektif tamadun dan agama Islam, kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa harus dijiwai oleh budaya moral dan etika yang luhur. Matlamat ini tidak akan dapat dicapai selagi kemajuan kebendaan diasingkan daripada nilai-nilai moral, etika dan kerohanian yang luhur. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam masyarakat dan negara.
Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti yang menyumbang ke arah kebudayaan tinggi.

Prinsip 9 : PEMELIHARAAN ALAM SEMULAJADI

Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan manusia dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia adalah akibat daripada kehidupan yang sejahtera antara sesama manusia dengan alam tabii. Dalam proses pembangunan, manusia mempunyai kecenderungan untuk menguasai dan mengekploitasi alam tabii secara berlebihan dengan menggunakan sains dan teknologi. Natijahnya, keseimbangan alam semula jadi tidak dapat dikekalkan. Peristiwa tanah runtuh, banjir kilat, pemanasan global, ribut taufan, hujan asid, pencemaran udara, air dan darat, kepupusan tanaman, habitat dan sebagainya semuanya menyumbang kepada ketidakstabilan eko-sistem yang dilakukan oleh aktiviti manusia. Di peringkat antarabangsa beberapa deklarasi mengenai alam sekitar telah pun dilaksanakan oleh UNDP untuk memastikan pembangunan yang lestari. Deklarasi Reo De Janerio (1993) dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara dua deklarasi di mana Malaysia turut menandatanganinya. Malaysia sendiri telah mengadakan Deklarasi Langkawi untuk memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan pendekatan yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan kepada kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni agama, bertanggungjawab dengan alam, membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan yang bersungguh-sungguh. Pembangunan sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya perlu diterapkan kepada seluruh peringkat masyarakat. Penyelidikan dan pemantauan terhadap alam tabii perlu dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat.
Adalah menjadi pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni dengan alam sekitar dan persekitarannya disamping berusaha untuk terus maju.

Prinsip 10 :KEKUATAN PERTAHANAN

Islam Hadhari melihat pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spritual. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an surah al-Anfal: 60 maksudnya:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk mengerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahui nya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasanya kepada kamu,dan kamu tidak akan dianiayai”.
Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara dari dicerobohi. Untuk itu mereka perlu memiliki kekuatan ketenteraan yang terkini bagi tujuan mempertahankan diri dan negara dan bukan untuk menyerang dan menguasai bangsa dan negara lain.
Kekuatan pertahanan akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara yang membolehkan proses pembangunan dilakukan secara berterusan.
Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan dan keupayaan mempertahankan diri. Negara perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Pendekatan Islam Hadhari akan berusaha memperkasakan umat supaya mereka berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.


0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

Designed By Blogs Gone Wild!