Sunday, January 23, 2011

Tak Mampu Kehilangan Cinta...

     Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan. Temuilah bahagia ketika kita mencarinya.  Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya.Carilah harta, tetapi genggamlah cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya. Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip pun. Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua pun keadaan.
Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan. Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita. Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat ‘kosmetik’ semata-mata. Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.
Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri. Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri. Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.
Carilah cinta kita yang hilang. Insya-Allah kita akan temuinya semula cinta itu di tempat, suasana dan masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu. Bukankah kita bertemu kerana Allah? Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya? Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana.
Carilah kekuatan itu semula. Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya. Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta. Renunglah mata isteri atau suami mu, carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada?
Dan kemudian genggam erat tangannya. Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!

Sayang… di kejauhan ini
Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia

Ku usap air matamu yang jernih
Dengannya ku sulam rasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Dengannya ku sulam rasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela

Sayang.. dikejauhan ini
Ku sapa salam setiamu
Ku sambut  senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Tak kan menghalang bicara
… rasa kita berdua
Sayang, sayang, sayang,
Semakin terpisah…
cinta kita  semakin indah
Semakin jauh…
kasih kita semakin kukuh
Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

Designed By Blogs Gone Wild!